Ada seorang wali allah bertapa di dalam sebuah gua yang terletak berhampiran dengan suatu medan peperangan. Pada suatu hari, sewaktu wali Allah itu keluar dari gua, beliau dapati ada seorang askar terbaring berlumuran darah, betul-betul di hadapan pintu gua itu. Beliau lalu mengangkat askar itu dan membawanya masuk ke dalam gua. Beliau merawat askar itu sehingga askar itu sembuh dan sihat dengan izin Allah s.w.t.
Pada suatu hari, askar itu menghampiri wali Allah tersebut lalu berkata,
"Sekian lama saya saksikan bapa hidup dalam gua yang sunyi dan jauh dari dunia luar. Namun begitu, saya dapati wajah bapa ada ketenangan yang tidak pernah saya saksikan pada manusia-manusia lain. Tolong beritahu saya apakah rahsia hidup bapa??"
Si wali mengangguk-angguk dan bangun daripada duduknya sambil berkata, "Mari ikut bapa, kita cari jawapannya."
Mereka keluar dari gua dan berjalan menuju ke hutan belantara. Tiba di suatu kawasan, pemuda itu tiba-tiba memegang tangan wali Allah s.w.t itu dan menariknya sambil berkata cemas, "Bapa, kita tinggalkan tempat ini. Saya dapati ada bekas tapak kaki harimau yang masih baru!". "Jangan takut, nak! Mari ikut bapa." kata wali Allah s.w.t itu tenang.
"Tidak bapa, tidak!", balas pemuda itu sambil terus menarik tangan orang tua itu. Mereka pun berjalan pulang. Di dalam gua, wali Allah itu berkata, "Anak begitu takut kepada harimau hanya kerana ternampak tapak kakinya. Kenapa anak tidak mahu takut kepada Allah s.w.t hanya dengan melihat alam ini? Semua isi bumi ini adalah tanda-tanda wujud dan berkuasanya Allah s.w.t."
Mendengar kata-kata itu, tahulah askar itu bahawa rahsia ketenangan wali Allah itu ialah pada sifatnya yang takut kepada Allah s.w.t. Dia tidak takut kepada selain Allah s.w.t.